Selasa, 31 Januari 2012

Siput Sedut Masak Lemak Cili Api Berkeladi



Bahan - bahan

1 kg siput sedut ( di bersihkan dan potong hujungnya )
2 batang keladi ( bersihkan dan potong serong & di celur )
1 liter santan kelapa
5 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
5-6 biji cili padi * ( kalau suka pedas boleh tambah cilinya )
2 batang serai ( di titik )
1/2 inci kunyit hidup *
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya

1. Kisar halus semua bahan - bahan yang bertanda *. Kemudian masukkan kedalam periuk bersama - sama dengan santan dan juga serai yang telah di titik tadi.

2. Masak di atas api sederhana besarnya dan pastikan sentiasa mengacau kuahnya.

3. Apabila kuah telah mendidih, masukkan siput sedut bersama garam dan gula secukupnya. Biarkan seketika sehingga kuahnya benar - benar mendidih.

4. Masukkan keladi yang telah di celur tadi, kacau gulai perlahan - lahan sehingga masak.

Ikan Bilis Kacang Cili Pedas


Sumber : SDK

Bahan - bahan

200 gm ikan bilis ( basuh & toskan )
100 gm kacang tanah tanpa kulit ( goreng garing )
3 ulas bawang putih ( tumbuk lumat )
2 sudu makan pes cili kering
1 keping asam gelugur
1 - 2 sudu makan gula perang
Minyak untuk menggoreng

Cara Membuatnya

1. Goreng ikan bilis hingga garing, ketepikan.

2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang putih tadi. Masukkan pes cili kering dan tumiskan sehingga garing.

3. Masukkan asam dan kacau rata. Tambahkan gula perang dan kacaukan lagi.

4. Masukkan ikan bilis, kacang dan kaup balikkan hingga rata dan mesra gitu..

5. Angkat dan bolehlah sejukkan sebelum di simpan di dalam bekas kedap udara.



                   

Masak Lemak Labu

Resepi ni dah lama juga nak entry kan, tak jadi2. Hari ni baru sempat posing dekat sini..



Bahan - bahan

1 biji labu ( buang kulit & potong dadu
1/2 liter santan ( sederhana pekat )
4 ulas bawang merah * 
1 ulas bawang putih *
1 sudu teh lada hitam *
1 biji cili besar merah ( potong 3 - 4 )
Segenggam ikan bilis  * ( bersihkan )
1/2 sudu teh serbuk kunyit ( optional )
Garam secukupnya

Cara Membuatnya
Kisar atau tumbukkan bahan - bahan yang bertanda * . Masukkan ke dalam periuk bersama santan. Masakkan di atas api yang kecil, kemudian masukkan serbuk kunyit, garam dan cili merah. Masaklah sehingga buah labu menjadi lembut dan bolehlah di angkat. Selamat mencuba..
                                                      


Isnin, 30 Januari 2012

Kuih Koci Pulut Hitam

Kuih koci ni salah satu daripada kuih yang saya cukup suka.. resepi ni saya ambil dari Potret Kasih . terimakasih untuk resepi yang sedap ni.




Resepi Kuih koci ( sumber :Myresipi – CMG)
Bahan untuk Doh
250 g tepung pulut
1/2 cawan tepung pulut hitam
1 1/2 cawan air
Bahan untuk Inti
1 biji kelapa berkulit basah (yg tidak terlalu tua)
1 ketul gula Melaka
1 cawan gula pasir
2 helai daun pandan, disimpul
1/2 cawan air
Bahan lain
Daun pisang secukupnya, dibersihkan dan dilayur hingga lembut, potong 5 inci x 5 inci.
Minyak kelapa secukupnya (minyak makan pun boleh)
1 cawan pati santan + secubit garam


Cara-cara
1. Untuk Inti:- Kelapa diparut putih. Potong gula melaka kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama gula pasir dan air. Masak hingga gula hancur. Tapis air gula tadi dan masukkan ke dalam kuali. Masukkan daun pandan dan juga kelapa parut. Masak hingga inti agak kering sedikit. Angkat dan sejukkan.
2. Untuk Doh:- Satukan tepung pulut dan tepung pulut hitam dalam satu bekas. Tuang air sedikir demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh yg lembut dan tidak melekat di mangkuk adunan. Jika kurang air tambah sedikit lagi.
3. Untuk membuat kuih koci:- Ambil sehelai daun pisang, sapu dgn minyak pada permukaan daun pisang tadi. Ambil sejemput doh dan leperkan, letak satu camca teh inti.
4. Tutup inti dgn doh dan bubuh satu camca teh santan pekat. Kemudian lipat seperti biasa.
5. Bila siap, susun dalam kukusan dan kukus 15 minit atas air menggelegak. Banyak atau kurang jumlah kueh koci bergantung pada saiz kueh masing2. Selamat mencuba..

Khamis, 26 Januari 2012

Kerutuk Daging

Salam semua..hari ni nak kongsi resepi kerutuk pulak.. ni menu kami tengahari tadi, nasi minyak bersama dengan daging kerutukayam masak merah dan acar timun. untuk resepi nasi minyak anda bolehlah klik di sini. untuk resepi ayam masak merah pula klik di sini. jom kita lihat bahan - bahan untuk membuat kerutuk daging.





Bahan - bahan

Daging 1/2 kg ( hiris kasar )
500 ml santan pekat
2 1/2 sudu makan rempah kerutuk
Rempah 4 sekawan secukupnya
10 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1/2 inci halia *
1/2 inci lengkuas ( ketuk )
1 batang serai ( ketuk )
1 sudu makan pes cili kering
2-3 helai daun limau purut
2 sudu makan air asam jawa
2 biji ubi kentang ( potong 4 )
1 1/2 sudu makan kerisik
2 batang cili besar ( potong kasar )
Garam dan gula secukup rasa



Cara Memasak

1. Kisarkan bahan bertanda *, kemudian campurkan dengan rempah kerutuk, pes cili kering dan sedikit air.

2. Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan, serai, lengkuas dan masukkan bahan - bahan kisar tadi dan tumiskan sehingga sedikit garing.

3. Masukkan daging dan masakkan sehingga air daging kering.



4. Apabila daging kering masukkan santan dan masakkan lagi sehingga mendidih. Masukkan  ubi kentang, air asam jawa, garam dan juga gula.

5. Apabila kuah agak pekat, masukkan kerisik, cili besar dan juga daun limau purut.

6. Apabila kuah telah benar - benar pekat dan telah naik minyaknya, bolehlah di angkat.

Sabtu, 21 Januari 2012

Nasi Minyak Puteri Saadong

Hari ni nak kongsi resepi nasi minyak. Yang ni bukan sebarang nasi minyak tau..ni nasi minyak Puteri Saadong.
Resepi  dari Mamasya'fotopages. Dah banyak kali buat nasi minyak ni, tapi selalu lupa nak snap gambarnya. Mamasya, saya c/p dan  terimakasih untuk resepi yang sedap ni..


Sumber ; Fp Rossya

Bahan - bahan

5 gelas beras basmathi
5 gelas air
5 sudu makan minyak sapi
5 sudu makan sos tomato
5 sudu makan sos cili
5 kuntum bunga cengkih
2 biji bunga lawang
2 biji buah pelaga
1 batang kayu manis
2 biji bawang besar di mayang halus
2 sudu makan gula pasir ( I do not put this in)
1 sudu makan garam halus ( use only what u need)
2 sudu makan kismis
2 sudu makan bawang goreng
2 helai daun pandan

Panaskan minyak sapi. Kemudian tumis rempah tumis bersama bawang besar hingga layu. Masukkan sos cili, sos tomato dan air. Masukkan garam dan gula dan daun pandan. Biarkan hingga mendidih kemudian masukkan beras. Tunggu hingga nasi masak dan taburkan kismis hitam dan bawang goreng di atas nya. 



Kuzi Ayam



Pertama kali masak kuzi..boleh tahan juga rasa dia..resepi asal dari zaliana@myresipi.com.. tumpang share resepi dekat sini. :)



Sumber asal zaliana@myresipi.com

Bahan - bahan ( 6-8 orang )

Bahan A ( Rempah )
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh lada hitam
6 kuntum bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis
4 biji buah pelaga ( buang kulit dan ambil bijinya saja )
1 kuntum caber
2 kuntum bunga lawang

Bahan B

800 gm - 1 kg ayam
Sedikit saffron
2 ulas bawang putih
1 sudu besar garam
1 inci halia
Minyak sapi untuk menggoreng

Bahan C

150 gm bawang besar
20 gm kepingan badam
1/2 cawan kacang tanah ( saya gunakan biji gajus )
40 gm kismis
1 ketul hati ayam ( di rebus dulu )

Bahan D

3 hiris lengkuas
2 hiris halia
1 batang serai
1 biji limau nipis
2 ulas bawang putih
200 ml susu sejat 
Sedikit saffron
1/2 cawan penyukat sos tomato
700 ml air
1 1/2 sudu teh garam
2 sudu teh gula

Cara - cara

  1. Dsc02537
     Sediakan rempah-rempah di A.Basuh bersih didalam tapis.Kemudian goreng kering/sangai di dalam kuali.
  2. Dsc02539
     Kisar rempah tadi dalam pengisar kering.Boleh juga ditumbuk hingga halus. Sebagai panduan berat rempah yang dapat ialah anggaran sebanyak 10 gram.  
  3. Bahan-bahan di B-saffron,bawang putih dan halia ditumbuk.Kemudian lumurkan pada ayam.Perap seketika .Kemudian goreng ayam menggunakan minyak sapi.Goreng separuh masak sahaja.
  4. Dsc02541
     Semua bahan di C hendaklah digoreng.Goreng mengikut turutan-mula-mula goreng bawang besar.Kemudian diikuti badam,kacang tanah, kismis dan hati ayam .Setelah digoreng,hati ayam dipotong dadu.
  5. Tumbuk badam bersama bawang goreng. Kacang tanah ditumbuk kasar.
  6. Campurkan rempah di A, susu sejat,bawang besar dan badam tumbuk,limau nipis dan sos tomato dan saffron.Gaul rata di dalam sebuah bekas.
  7. Panaskan minyak sapi.Tumiskan bawang putih,halia,lengkuas dan serai.Kemudian masukkan semua campuran di No 6.Masukkan sedikit air.Biarkan menggelegak.Masukkan garam dan gula.Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng.
  8. Masukkan baki air.Kemudian masukkan kacang tanah,kismis dan hati ayam. Tambahkan air lagi jika kuah terlalu pekat.Imbangkan rasa manis dan masinnya. Sedia untuk dihidangkan dengan nasi,roti jala atau bun.





Jumaat, 20 Januari 2012

Bakso



Salam untuk semua.. semoga hari ini adalah hari yang ceria untuk semua. hari ni, saya nak share resepi2 baru yang telah saya cuba masak.. resepi yang ni dari Dapur Ibundo, terimakasih bundo yer, saya c/p dekat sini. 






Bahan:
Mee/mihun 
1 kilo tulang rusuk
Pentol  (sukalah banyak mana nak taruk)(bebola daging)
2 inci halia
2 inci lengkuas di ketuk
6 biji bawang sederhana besar
4 ulas bawang putih 
8 biji sengkuang cina (kalau tak jumpa sengkuang cina janganlah menangis pulak. Ganti je dengan sengkuang biasa 1 biji)
2 bungkus sup bunjut tulang
1 sudu teh lada putih
Rempah 4 sekawan secukupnya
daun sup
daun bawang

bahan sampingan:
kobis dihiris halus
sambal cili api
kicap
cili sos
daun sup dihiris
bawang goreng






-Rebus tulang.  Banyak air boleh agak sendiri.  Masukkan lengkuas yang dititik.
-Blend sengkuang, tuang dalam periuk.
-Masukkan sup bunjut, garam dan sedikit daun sup/bawang
-Blend bawang besar, bawang putih dan halia
-Di kuali lain, panaskan minyak. Tumis rempah 4 sekawan dan bahan-bahan yang diblend tadi
-Masukkan ke dalam air rebusan
-Masukkan lada putih
-Bila daging empuk masukkan pentol
-Siap!! 

Bila nak makan, masukkan mee atau mihun ke dalam mangkuk. Letak hirisan kobis, daun sup, bawang goreng, cili sos, kicap dan cili.  Tuangkan sup ke atasnya. Makan panas-panas.  Boleh berpeluh-peluh ni bila makan.






Set Nasi Dagang

Nasi Dagang lagi.. kali ni saya nak share Kari Ikan Tongkol dan Acar Timun pula.




Untuk resepi Nasi Dagang, klik di sini.

Bahan - bahan untuk Kari Ikan Tongkol

1 ekor ikan tongkol
1 liter santan sederhana pekat
2 1/2 sudu makan rempah gulai ikan nasi dagang/ kari
6 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1/2 inci halia *
1 1/2 sudu makan pes cili kering
1 tangkai daun kari
Rempah 4 sekawan
2 sudu makan air asam jawa
Garam secukup rasa
Sedikit gula melaka

Cara Memasak

1. Potong ikan tongkol mengikut saiz yang di kehendaki, kemudian rebus dengan 2-3 keping asam keping dan sedikit garam. Gunakan sedikit air anggaran 3/4 paras ikan. Rebus ikan sehingga air agak kering dan ketepikan.

2. Kisarkan kesemua bahan yang bertanda *. Kemudian campurkan dengan rempah gulai ikan, pes cili kering dan sedikit air.

3. Tumiskan rempah 4 sekawan dan bahan - bahan kisar tadi sehingga pecah minyak. Masukkan daun kari.

4. Masukkan santan, biarkan mendidih seketika. Kemudian masukkan ikan rebus tadi.

5. Masukkan air asam jawa, gula melaka dan garam secukupnya. Masakkan sehingga kuah agak pekat.


Acar Timun

Bahan - bahan

2 batang mentimun
1 potong nenas
1 labu bawang besar
1 batang lada merah 
1 sudu makan cuka makan
Sedikit air
Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan

1. Mentimun di potong memanjang atau bulat, terpulang pada citarasa masing2. Manakala nenas pula di potong nipis.

2. Hiris nipis bawang besar dan lada merah. Campurkan ke dalam timun dan nenas.

3. Manakala di dalam bekas yang lain, campurkan cuka, air, garam dan gula. Larutkan dan masukkan ke dalam timun dan nenas. Kacau sebati, sedia untuk di hidangkan.


Khamis, 19 Januari 2012

Nasi Himpit Kuah Kacang Bersambal

Salam sejahtera untuk semua tetamu Dunia Masakanku.. Lama rasanya tak masukkan entry baru untuk tatapan semua. Sibuk sikit, sampai takde masa untuk meng'entry'kan resepi baru. Hari ni nak kongsi resepi Nasi Himpit, harapan saya resepi ni menepati citarasa kawan2 semua.. cuba yer!.


Bahan2 Untuk Nasi Himpit

6 peket nasi himpit segera Adabi

Cara Memasak

Rebuskan nasi himpit segera dengan air yang banyak sehingga masak dan lembut. Toskan dan ketepikan.  Saya biasa gunakan jenama Adabi sebab nasi himpitnya putih dan wangi. Bagi mereka yang tak suka beras wangi boleh gunakan jenama lain selain Adabi, contohnya seperti Nona.



Bahan2 Untuk Kuah Kacang

1 liter santan sederhana pekat
2 cawan kacang tanah
2 sudu makan pes cili kering
1/2 inci lengkuas *
1/2 inci halia *
4 ulas bawang putih *
6 ulas bawang merah *
2 keping asam keping
3 batang serai *
Garam dan gula secukup rasa 
1 keping melaka

Cara Memasak

1. Gorengkan kacang tanah tanpa minyak dengan menggunakan api yang kecil. Bila kacang masak, ketepikan seketika, buangkan kulitnya dan kisar kasar kacang tersebut. Ketepikan.

2. Kisarkan bahan2 yang bertanda dan tumiskan bahan2 tersebut bersama dengan pes cili kering sehingga pecah minyak atau sedikit garing.

3. Masukkan santan, biarkan mendidih, masukkan kacang tanah yang di kisar tadi. Masukkan asam keping, garam, gula dan gula melaka. Untuk rasa kuah yang agak manis, bolehlah lebihkan gula dan gula melaka. Terpulanglah pada citarasa masing2.

4. Masakkan sehingga kuah menjadi agak pekat dan bolehlah di hidangkan bersama nasi himpit.

Bahan2 Untuk Sambal Nasi Himpit
1/2 biji kelapa parut
4 ulas bawang merah
1 keping gula melaka
Sedikit garam
2 sudu makan gula

Cara Penyediaan

1. Gorengkan kelapa tanpa minyak di atas api yang kecil. Bila agak garing, angkat dan tumbukkan bersama dengan kesemua bahan2 yang lain sehingga agak lumat.

2. Setelah siap bolehlah di nikmati bersama nasi himpit.





Sabtu, 7 Januari 2012

Bebola Daging



1/2 kg daging ( kisar halus )
2 batang serai
1 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
100 gm lemak sayuran
1 sudu teh jintan halus
1 sudu teh ketumbar
1 sudu teh garam
Sedikit lada sulah
Sedikit soda bikarbonat
50 gm tepung ubi
100 gm tepung sagu
50 gm tepung gandum
Sedikit gula halus
1 inci halia

Cara - cara

1. Kisar dan gaulkan semua bahan kecuali lemak sayuran.

2. Perapkan adunan kira - kira 15 minit.

3. Masukkan lemak sayuran dan gaulkan sehingga benar - benar sebati.

4. Bentukkan adunan menjadi bulat, rebuskan dengan api yang kecil sehingga bebola timbul.

5. Angkat dan biarkan sejuk.

Jumaat, 6 Januari 2012

Laksam


Bahan - bahan untuk Kuah

5 ekor ikan sardin 
Santan secukupnya
5 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
2 keping asam keping
Garam dan gula secukup rasa
1 sudu teh lada hitam ( tumbuk halus )

Cara Membuatnya

1. Bersihkan ikan dan rebus dengan sedikit garam dan asam keping. Bila masak, sejukkan dan ambil isinya.

2. Kisarkan isi ikan bersama dengan bawang merah dan bawang putih sehingga halus.

3. Masukkan ke dalam periuk yang berisi santan dan masak dengan api yang perlahan. Sentiasa kacau kuahnya.

4. Masukkan lada hitam, asam keping, garam dan gula. Bila mendidih, bolehlah di angkat.


Bahan - bahan untuk laksam

2 1/2 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
5 cawan air
1 sudu teh air kapur

Cara Membuatnya

1.Masukkan tepung gandum, tepung beras, air dan air kapur ke dalam bekas. Kacau rata dan tapiskan.

2. Sapukan sedikit minyak pada tudung periuk dan letakkan ke dalam periuk pengukus yang telah di panaskan terlebih dahulu.

3. Sendukkan adunan dalam 2 senduk dan kukuskan sehingga adunan menggelembung.

4. Keluarkan dan gulungkan perlahan - lahan. Buat begini sehingga adunan habis.

5. Potong laksam nipis dan letakkan ulam - ulaman seperti kacang panjang yang di hiris nipis, tauge, timun yang di racik kasar dan juga daun kesum yang di hiris nipis ke atas laksam.

6. Jangan lupa bagi yang suka pedas, bolehlah meletakkan sedikit sambal belacan ke dalamnya. Selamat mencuba...

Hawaiian Chicken Pizza


Bahan untuk roti

300 gm tepung kek
140 ml susu segar
40 gm butter/ minyak zaitun
1/2 cawan air
1 sudu teh mauripan ( ibu roti )
1 sudu besar gula halus
Sedikit garam

Cara Membuatnya

1. Ibu roti di gaulkan dengan tepung, masukkan susu segar, butter/ minyak zaitun, garam dan gula.

2. Uli sehingga sebati. Perapkan sehingga doh mengembang sekali ganda.

3. Uli lagi sekali untuk mengeluarkan angin di dalamnya. Bahagikan kepada 2 adunan.

4. Canaikan adunan menjadi leper mengikut saiz yang di kehendaki.

5. Letakkan ke dalam dulang pembakar dan biarkan selama 20 minit supaya adunan naik semula.

6. Cucuk - cucukkan adunan dengan garpu untuk mengelakkan ianya mengelembung semasa di bakar.

7. Bakar dengan suhu 180'C selama 5-7 minit. Keluarkan.


Bahan Sos

1 labu bawang besar ( dadu/ cincang )
2 ulas bawang putih ( cincang halus )
Sedikit minyak untuk menumis
2 biji tomato ( cincang )
3 sudu besar tomato puri
2 sudu besar sos tomato
1 sudu kecil serbuk oregano 
Sedikit garam


Cara membuatnya

1. Panaskan minyak untuk menumis, tumis bawang putih dan bawang besar sehingga layu.

2. Masukkan semua bahan - bahan. Masak sehingga pekat.

Bahan untuk inti 

Isi ayam secukupnya di tumiskan dengan bawang putih, sayuran campur ( mix vege. ) dan nenas dadu.

Bahan - bahan untuk di tabur di atasnya

125 gm parutan keju mozarella
125 gm parutan keju cheddar
1 biji capsicum/ cili epal ( dadu ) 
1 sudu teh oregano kering

Cara - Caranya

1. Sapukan sos ke atas roti, taburkan sedikit keju di ikuti bahan inti, cili epal dan taburkan keju sekali lagi ke atasnya. 

2. Taburkan oregano kering ke atas keju rata - rata.

3. Bakar semula sehingga keju mencair.

Khamis, 5 Januari 2012

Kek Marble





Salam untuk semua tetamu ' dunia masakanku '..hari ni nak kongsi resepi kek pulak. kek ni baru semalam buat, resepi ni saya ambil dari dila81@myresepi.com. sedap dan gebu kek ni. jom kita lihat bahan - bahannya.



Bahan - bahan ( 20 cm )

Bahan A

250 gm butter
40 gm marjerin
210 gm gula kaster
5 biji telur ayam ( gred b )
1 sudu teh esen vanilla

Bahan B

230 gm tepung gandum ( saya guna tepung kek Bluekey )
1 sudu teh serbuk baking powder ( saya x guna )
30 gm serbuk koko
80 ml fresh milk/ susu segar

Cara - cara

1. Pukul mentega, marjerin dan gula sehingga betul - betul kembang.

2. Kemudian masukkan telur sebiji demi sebiji sehingga habis. Di ikuti dengan esen vanilla.

3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit di selang seli dengan susu segar.

4. Pukul lagi adunan tadi hingga betul - betul sebati.

5. Bahagikan adunan pada 2 bahagian, satu bahagian di tambahkan serbuk koko dan satu bahagian lagi biarkan warna asal.

6. Panaskan oven 180'C selama 10 minit.

7. Sediakan acuan loyang yang telah di griskan terlebih dahulu dengan sedikit mentega dan taburkan tepung nipis sikit atau lapikkan loyang dengan kertas minyak.

8. Sudukan adunan ke dalam loyang dari kedua dua bahagian secara berselang seli sehingga kelihatan berbelang.

9. Bakar adunan selama 50-60 minit dengan suhu 180'C.




Kuetiaw Goreng Basah





Bahan - bahan

1/2 bungkus kuetiaw ( bersihkan & toskan )
Sedikit isi ayam/udang/sotong
4-5 biji bebola daging
2 ulas bawang putih ( cincang halus )
1 biji bawang besar ( hiriskan )
1 sudu makan pes cili kering
1 biji telur ayam
1 sudu makan sos tiram
2 sudu makan sos cili
1 sudu teh kicap pekat
1 sudu makan kicap manis
1 sudu makan sos ikan
1 batang lada merah ( hiris )
Sedikit sayur sawi ( optional )
Garam dan gula secukup rasa



Cara Memasak

1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali, masukkan bawang putih di ikuti dengan hirisan bawang besar, tumis sehingga layu.

2. Masukkan isi ayam/udang/sotong, kacau hingga agak masak. Kemudian masukkan pes cili kering, biarkan seketika.

3. Masukkan pula sos tiram, kicap pekat, kicap manis, sos ikan, garam dan gula. Kacau dan pecahkan telur ke dalamnya.

4. Bila telur mulai beku kacau perlahan biar dia berketul - ketul. Masukkan sedikit air, kalau nak kuah banyak bolehlah di lebihkan airnya.

5. Masukkan sayur, bebola daging, hirisan cili, sos cili dan juga kuetiaw. Biarkan kuah menjadi pekat dan bolehlah di angkat.


Ahad, 1 Januari 2012

Pulut Panggang

Assalamualaikum buat semua para pengunjung blog ' Dunia Masakanku ' . Selamat Tahun Baru. Semoga di tahun ini akan lebih memberi makna kepada kita semua.. Amin!.



Bahan A

240 gm beras pulut
Santan secukupnya
Sedikit garam

Bahan B

1/2 biji kelapa parut
1 biji bawang besar ( kisar )
2 ulas bawang putih ( kisar )
2 batang serai ( kisar )
1 1/2 sudu makan pes cili kering
1 sudu makan udang kering ( kisar )
Sedikit kunyit ( kisar )
 Daun pisang ( untuk bungkus pulut )

Cara Penyediaan

1. Kukuskan pulut sehingga 1/2 masak. Gaulkan dengan santan yang telah di campurkan dengan garam.

2. Kukuskan lagi sekali sehingga pulut masak, ketepikan.

3. Tumiskan bahan yang telah di kisar sehingga naik baunya.

4. Kemudian masukkan pes cili kering, tumis lagi hingga naik minyak.

4. Kemudian masukkan kelapa parut dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

5. Biarkan agak kering dan bolehlah di angkat.

6. Untuk membungkus pulut panggang pula, letakkan sedikit pulut di atas daun pisang. Letakkan sedikit inti di tengah - tengahnya.

7. Kemudian gulungkan pulut tersebut dan staplerkan di bahagian hujung di kedua - dua belahnya.

8. Akhir sekali, bakar pulut tersebut di dalam kuali tanpa minyak.